Internet boleh dikatakan sebagai pemecah kepada kebuntuan para pemilik perniagaan yang tidak dapat memasarkan produk atau servis ke lokasi-lokasi tertentu.
Ini disebabkan adanya perkhidmatan elektronik mail atau emel yang bukan sahaja percuma malahan membantu menghubungkan antara pengguna internet yang memerlukan penyelesaian terhadap masalahnya dengan pemilik produk yang berupaya membantunya.
Pemasaran emel dikenali kerana ramai pemilik perniagaan yang menggunakan strategi pemasaran jenis ini untuk menghantar newsletter, tawaran produk atau servis yang akan datang kepada para pelanggan mereka.
Semua ini dapat direalisasikan dengan mudah kerana emel bukan sahaja dapat menyampaikan mesej-mesej dari pengusaha kepada para pelanggan mereka dengan cepat, bahkan ia jauh lebih berkesan dari lain-lain strategi pemasaran tradisional seperti telefon atau surat-menyurat.
Tidak dapat dinafikan, bagaimanapun, bahawa strategi pemasaran emel boleh disalah anggap sama seperti spam.
Ini telah menyebabkan para pemilik bisnes berusaha untuk memastikan tajuk dan isi kandungan emel mereka membawa maksud yang tepat tentang mesej yang ingin disampaikan kepada para pelanggan sekaligus agar tidak dianggap sebagai emel spam.
Begitu juga dengan alamat emel, mestilah alamat yang sah dan membawa imej yang sihat pemilik bisnes atau syarikat yang beroperasi tersebut.
Paling penting, emel-emel tersebut hanya dihantar kepada mereka yang telah mengenali penghantarnya atau telah bersetuju untuk menerima emel-emel tersebut.
Mungkin anda terfikir; jika begitu susah dan banyak perkara yang perlu diambil kira, kenapa pemasaran emel masih dianggap strategi pemasaran yang ampuh dan berkesan?
Sememangnya terdapat beberapa perkara yang menjadikan pemasaran emel begitu popular dan digemari oleh para pemilik bisnes.
Pertama dan yang terpenting, pemasaran emel tidak memerlukan kos yang banyak, atau lebih senang disebut kos efektif.
Pemasaran emel membolehkan para pengusaha atau pemilik bisnes menjalankan kempen pemasaran emel mereka tanpa perlu mengeluarkan kos tambahan untuk percetakan, penyiaran iklan dan sebagainya.
Jika pemilik bisnes itu ingin menambah jumlah emel sekalipun, ianya tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dibayar kepada penyedia autoresponder.
Hal ini berbeza dengan strategi pemasaran tradisional yang mungkin memerlukan penambahan kos yang tinggi untuk penghantaran surat, kos panggilan telefon dan sebagainya.
Apabila anda merancang untuk mencari pelanggan, adalah penting untuk anda mempunyai kemampuan untuk menyampaikan mesej perniagaan anda kepada seramai mungkin bakal pelanggan.
Pemasaran emel boleh menjadi satu penyelesaian kepada masalah ini. Ia membolehkan anda menyebarkan mesej anda ke serata dunia tanpa ada sempadan dan batas geografi. Ini benar-benar menjimatkan kos sekaligus membantu meningkatkan tahap kemajuan perniagaan anda.
Pemasaran emel juga telah terbukti dapat meningkatkan mutu hubungan antara pengusaha dan pelanggan. Mereka boleh kekal berhubung walau di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.
Anda boleh terus menghantar maklumat-maklumat terkini tentang produk atau servis anda yang akan datang kepada mereka dan mereka pun boleh menyatakan pendapat mereka. Jelasnya, tanpa pemasaran emel, bisnes anda tidak dapat dijalankan dengan berkesan.
Kedua dan yang paling disedari oleh para pemilik bisnes ialah sikap dan kebiasaan pengguna.
Ada pendapat yang mengatakan kebanyakan orang meluangkan masa untuk mengemaskini emel, membaca dan menghantar emel.
Mereka ini jika berjaya dijadikan pelanggan maka para pemilik bisnes mempunyai jumlah penerima yang disasarkan (targeted audience) yang berkualiti, lebih-lebih lagi jika mereka memiliki kuasa beli yang besar.
Kebanyakan orang juga mempunyai akaun emel masing-masing dan setiap hari mereka akan meluangkan masa untuk menyemak akaun emel mereka.
Ini telah membuka peluang promosi kepada para pemilik bisnes dan strategi pemasaran emel sangat berkesan juga adalah kerana ini.
Oleh itu, apa yang boleh dilakukan oleh anda sebagai pengusaha ialah menghantar emel promosi produk atau servis anda kepada para pelanggan seperti ini, setelah mereka berada dalam senarai emel anda.
0 comments:
Post a Comment